Dasar ini terpakai untuk semua langganan (Pro dan Ultra), Produk Kedai dan Tools Guru Berbayar (satu tool atau Pakej Tools, akses bertempoh) yang dibeli di SistemGuru.My, serta bayaran Inovasi Guru (deposit pembinaan dan yuran kajian sebut harga).
1. Fasa Pra-Pelancaran
Sehingga tarikh tamat promo yang ditetapkan oleh kami dan dipaparkan dalam Platform, setiap pengguna yang log masuk menikmati Ultra tanpa bayaran — bagi akaun yang didaftar sebelum Tarikh Pelancaran (lihat Terma & Syarat, Seksyen 3). Pengguna yang layak tidak perlu membeli langganan dalam tempoh ini. Tempoh langganan yang dibeli semasa promo mula berjalan pada tarikh bayaran disahkan (atau selepas tarikh tamat percubaan anda, jika percubaan masih berjalan), dan tempoh promo yang tidak digunakan tidak menjadi asas bayaran balik.
2. Sifat Langganan Digital
Langganan memberi akses kepada ciri berbayar serta-merta selepas pembayaran disahkan. Oleh kerana ia perkhidmatan digital yang diakses segera, secara amnya bayaran adalah muktamad dan tidak boleh dikembalikan, kecuali dalam keadaan di Seksyen 5.
2A. Tools Guru & Pakej Tools
Pembelian Tools Guru Berbayar membuka Akses Tool serta-merta selepas pembayaran disahkan (lazimnya 12 bulan, tanpa had penggunaan). Kerana akses digital diberi segera, bayaran adalah muktamad dan tidak boleh dikembalikan, kecuali dalam keadaan di Seksyen 5. Sebelum membeli, anda boleh menilai tool melalui percubaan Pro 14 hari (Seksyen 3) dan panduan bergambar setiap tool.
Jika kami menghentikan tool yang anda beli sebelum akses tamat, anda berhak memilih tool pengganti yang setara atau bayaran balik pro-rata bagi baki tempoh (Terma & Syarat, Seksyen 11A).
2B. Inovasi Guru
Deposit pembinaan (50%): dipulangkan jika anda membatalkan sebelum kerja bermula; tidak dipulangkan selepas kerja bermula.
Yuran kajian sebut harga (RM49): dipulangkan jika anda membatalkan sebelum kajian bermula; tidak dipulangkan selepas kajian bermula kerana ia membayar kerja kajian yang telah dibuat. Sebut harga yang diterima tidak mewajibkan anda meneruskan pelaksanaan.
Pindah Hosting (RM49 setahun setiap inovasi): dipulangkan sepenuhnya jika inovasi tidak dapat dipindah tanpa mengubah fungsinya, atau jika anda membatalkan sebelum kerja pemindahan bermula; tidak dipulangkan selepas inovasi dilancarkan di sistemguru.my.
2C. Games (Permata & Pas)
Permata yang belum digunakan: boleh dipohon bayaran balik dalam 7 hari dari tarikh pembelian jika tiada satu pun Permata daripada pembelian itu dibelanjakan.
Permata yang telah dibelanjakan (naik taraf, pelita, petunjuk, pakaian, hidup semula) dan Permata hadiah ranking tidak layak dipulangkan.
Pas bulanan: dipulangkan sepenuhnya jika dimohon dalam 48 jam dan ganjaran harian belum dituntut; selepas itu tidak dipulangkan.
Bayaran berjaya tetapi Permata tidak masuk: hubungi kami dengan kod bil ToyyibPay; kami akan mengkreditkan Permata atau memulangkan bayaran sepenuhnya.
3. Cuba Dahulu Sebelum Bayar
Setiap akaun baharu menerima percubaan Pro percuma selama 14 hari (termasuk kredit percubaan RPH Autopilot, lazimnya 3). Bagi akaun yang menerima promo pra-pelancaran, percubaan ini bermula selepas promo tamat; bagi akaun yang didaftar pada atau selepas Tarikh Pelancaran, ia bermula pada tarikh pendaftaran — lihat Terma & Syarat, Seksyen 5. Semasa percubaan, semua Tools Guru boleh dicuba. Gunakan tempoh ini untuk menilai Platform sebelum membayar. Oleh sebab itu, permohonan bayaran balik atas sebab "berubah fikiran" biasanya tidak layak.
4. Tiada Caj Automatik
Langganan tidak diperbaharui secara automatik. Anda tidak akan dicaj tanpa tindakan anda. Apabila tempoh tamat, akaun kembali ke pelan Percuma dan data anda kekal.
5. Bila Bayaran Balik BOLEH Dipertimbangkan
Langganan:
Anda dicaj dua kali (pendua bayaran) bagi pembelian yang sama;
Pembayaran berjaya tetapi pelan anda tidak diaktifkan, dan kami gagal mengaktifkannya selepas anda memaklumkan kami;
Masalah teknikal yang ketara di pihak kami menyebabkan ciri berbayar tidak boleh digunakan, dan kami gagal membaikinya dalam masa yang munasabah.
Produk Kedai:
Anda dicaj dua kali bagi produk yang sama;
Pembayaran berjaya tetapi produk tidak muncul di Pembelian Saya, dan kami gagal menyelesaikannya selepas anda memaklumkan kami;
Fail rosak atau tidak boleh dibuka (atau pautan luar produk tidak berfungsi), dan kami gagal menyediakan pengganti dalam masa yang munasabah;
Produk berbeza secara ketara daripada penerangannya di Kedai.
Tools Guru & Pakej Tools:
Anda dicaj dua kali bagi pembelian yang sama;
Pembayaran berjaya tetapi akses tidak dibuka, dan kami gagal mengaktifkannya selepas anda memaklumkan kami;
Fungsi utama tool tidak berfungsi seperti yang diterangkan di Kedai disebabkan masalah di pihak kami, dan kami gagal membaikinya dalam masa yang munasabah;
Kami menghentikan tool sebelum akses anda tamat (bayaran balik pro-rata atau tool pengganti — Seksyen 2A).
6. Keadaan Yang TIDAK Layak
Berubah fikiran selepas langganan diaktifkan atau selepas Produk Kedai boleh dimuat turun;
Tidak atau kurang menggunakan langganan dalam tempohnya;
Baki tempoh yang tidak digunakan jika anda berhenti menggunakan Platform atau membiarkan pelan tamat untuk turun taraf;
Baki tempoh yang ditukar pada nilai sama apabila anda naik taraf, atau hari yang ditukar apabila bil lama pelan lebih rendah dibayar semasa pelan lebih tinggi aktif (lihat Terma & Syarat, Seksyen 6) — penukaran itu menggantikan sebarang bayaran balik tunai atau kredit;
Had penggunaan adil AI yang telah dicapai dalam bulan tersebut, atau ciri AI yang dihentikan sementara kerana had harian AI seluruh Platform dicapai;
Fi transaksi FPX (lazimnya RM1) yang anda bayar kepada gerbang pembayaran (langganan bulanan dan Produk Kedai) — fi itu diambil oleh pihak ketiga dan tidak dikembalikan;
Ketidakserasian dengan peranti atau perisian pihak ketiga yang di luar kawalan kami;
Berubah fikiran selepas Akses Tool dibuka, atau tidak/kurang menggunakan tool dalam tempoh akses;
Membeli tool atau Pakej Tools, kemudian melanggan Pro/Ultra (yang sudah merangkumi semua tools), atau membeli tool yang sudah termasuk dalam pakej yang anda miliki;
Perubahan rupa atau penambahbaikan tool yang mengekalkan fungsi utamanya;
Gangguan atau perubahan pada perkhidmatan AI pihak ketiga yang anda gunakan untuk bantuan AI salin & tampal;
Akaun ditamatkan kerana melanggar Terma & Syarat, atau akaun yang anda padam sendiri.
7. Tempoh & Cara Memohon
Permohonan bayaran balik (bagi kes yang layak di Seksyen 5) mesti dibuat dalam tempoh 7 hari dari tarikh transaksi dengan menghantar e-mel ke admin@sistemguru.my, disertakan:
Nama pengguna dan e-mel akaun;
Resit / kod bil ToyyibPay;
Pelan atau produk yang dibeli;
Sebab permohonan dan (jika berkaitan) tangkapan skrin masalah.
8. Pemprosesan
Permohonan yang diluluskan akan diproses dalam tempoh 7–14 hari bekerja melalui kaedah pembayaran asal. Tempoh sebenar bergantung pada bank atau gerbang pembayaran. Selepas bayaran balik, pelan berbayar berkenaan ditarik balik, akses kepada Produk Kedai dibuang daripada Pembelian Saya, atau Akses Tool ditamatkan.
9. Hubungi
Untuk sebarang isu pembayaran, langganan atau Kedai, hubungi kami di admin@sistemguru.my.